PETALING JAYA: Kisah menyentuh perasaan mengenai hubungan seorang pengasuh beragama Islam dan dua kanak-kanak lelaki berbangsa Cina menjadi viral di laman media sosial.
"Emak, anda jelas membuktikan bahawa anda adalah seorang rakyat Malaysia sebenar. Tidak perlu emak pakai t-shirt merah dan sertai perhimpunan," kata pengguna Facebook, Mary Anni mengenai ibunya, Hajijah Saini yang mengambil upah sebagai pengasuh kepada dua kanak-kanak berbangsa Cina.
Dalam entri di laman Facebook Mary yang menjadi viral sejak beberapa hari lalu, beliau memberi penghormatan kepada ibunya yang menjadi pengasuh kepada kanak-kanak tersebut ketika mereka masih kecil.
"Semasa saya di sekolah menengah, emak mengambil upah sebagai pengasuh. Dua anak asuhan emak yang paling saya ingati ialah Hassan dan Abu yang saya jumpa pertama kalinya ketika berusia 16 tahun.
"Hassan dan Abu adalah dua anak lelaki berbangsa Cina yang emak jaga semenjak mereka berusia dua tahun.
"Berbangsa Cina? Kenapa namanya Hassan dan Abu? Mungkin kerana nama dalam bahasa Cina tidak mudah untuk emak ingati, nama Hassan dan Abu menjadi nama timangan emak berikan kepada mereka," tulisnya.
Mary berkata nama tersebut melekat dan disenangi keluarga kanak-kanak tersebut sehingga mereka memanggil dengan nama yang sama.
"Emak menjaga dan menyayangi Hassan dan Abu seperti anak sendiri. Makan bersuap, tidur di riba, mandi diurus dan bermain sekali dengan adik-adik saya yang masih kecil.
"Kami sembilan beradik tidak langsung berasa janggal dengan kehadiran Hassan dan Abu di rumah. Kami diajar untuk mengasihi mereka walaupun jelas berbeza bangsa dan agama.
Emak mengajar kami untuk menerima Hassan dan Abu sebagai ahli keluarga," tulisnya.
Perunding imej dari Sarawak itu berkata ada hari-hari di mana kanak-kanak itu mahu bermalam di rumah kerana berasa begitu senang dan seronok.
"Mereka tidak mahu balik walaupun ayah dan ibunya menunggu lama di laman rumah.
"Emak terpaksa beritahu ayah dan ibu mereka, "Sori... Hassan dan Abu tidak mahu balik"," tulis Mary.
Beliau berkata ibu bapa kanak-kanak tersebut tidak bimbang mengenai keselamatan anak mereka cuma risau Hassan dan Abu akan menyusahkan ibunya.
"Apabila emak yakinkan mereka bahawa emak tidak berasa susah walau sedikit pun, mereka balik dengan hati yang lapang.
"Esok mereka akan datang mencuba untuk memujuk Hassan dan Abu untuk balik. Kadang-kadang berjaya dipujuk, kadang-kadang tidak," katanya.
Mary berkata pengalaman indah keluarganya bersama Hassan dan Abu adalah ketika Hari Raya.
"Pernah juga Hassan dan Abu berbuka puasa bersama kami sekeluarga, bermalam di rumah kami di malam raya, bermain bunga api dan sama-sama teruja menunggu kedatangan hari raya pada esok harinya," katanya.
Menurut beliau, pada ketika itu, kanak-kanak tersebut memanggil Hajijah dengan panggilan 'emak' manakala ayahnya dengan panggilan 'ayah' dan neneknya sebagai 'nenek'.
Katanya, kanak-kanak tersebut tidak pernah dibezakan.
"Melalui pengalaman bersama Hassan dan Abu, saya belajar daripada emak untuk melayan semua orang dengan cara terbaik. Tidak perbezaan kelas. Tiada diskriminasi.
"Saya belajar memahami Hari Malaysia daripada emak saya. Saya belajar menjadi rakyat Malaysia daripada emak saya," katanya.