ROSITA BAHER, 40, menenangkan anaknya, Miksudiar Alui. |
GUA MUSANG 10 Okt. – Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan kehilangan 7 pelajar orang Asli yang hilang di hutan belantara di Gua Musang.
Dua dari pelajar berkenaan, Mirsudiar, 11, dan Norieen, 10, ditemui selamat walaupun sudah 48 hari dilaporkan hilang.
Apa yang menjadi misteri adalah bagaimana kanak-kanak itu boleh 'survive' tanpa keperluan asas dan makanan bersih dalam tempoh yang begitu lama.
Berdasarkan pemandu pelancong yang berpengalaman di kawasan gua dan gunung, seseorang yang sesat dan tidak mempunyai kepakaran tentang hutan hanya dapat bertahan hampir 20 hari sahaja, justeru menimbulkan tanda tanya bagaimana Mirsudiar,11, dan Norieen,10, boleh bertahan selama 48 hari.
Menurut laporan dari Mingguan Malaysia, kebanyakan penduduk di sekitar kawasan Pos Tohoi berkata mereka percaya dua kanak-kanak itu mampu bertahan di hutan belantara kerana mendapat bantuan dari makhluk halus yang mendiami kawasan itu.
Seorang penduduk dari Pos Tohoi, Alex Long, 54, berkata makhluk itu memang wujud dan antara tempat-tempat yang digemari oleh makhluk itu adalah pokok tualang, pokok merbau atau gua-gua yang terdapat di daerah ini.
Menurut beliau, masyarakat Orang Asli suka Temiar, makhluk yang mendiami hutan berkenaan digelar sebagai 'tenrog' atau di dalam bahasa Melayu dikenali sebagai 'Bunian'.
"Di sini, Gua Peraling paling dekat. Jika berjalan kaki, hanya ambil masa 10 minit sahaja dari penempatan kami. Gua ini ada penghuninya tetapi kami percaya mereka tidak buat kacau jika tidak diganggu.
"Mirsudiar dan Norieen mampu bertahan hidup lama mungkin kerana dibantu penghuni hutan ini. Mengikut kepercayaan kami, penghuni hutan memang suka berkawan dengan kanak-kanak," katanya memetik laporan itu.
Sementara itu, Jemi Angah, 40, menceritakan pengalaman dimana dia dan seorang rakan pernah sesat selama 18 jam di hutan berampiran Gua Peraling.
"Kami seolah-olah berlegar-legar di tempat sama sedangkan kawasan itu sering dilalui sebelum ini. Kami hampir berputus asa kerana kepenatan. Selepas saya minta penghuni hutan bantu, barulah kami terjumpa jalan ke kampung," katanya.
Tambah Jemi, masyarakatnya juga percaya ada pantang larang yang perlu dipatuhi jika manusia mahu menjejak kaki ke kawasan hutan.
Sekiranya gagal mematuhi pantang larang, penghuni hutan akan marah sehingga mengundang kejadian yang tidak diingini.
"Pantang larang paling utama jangan bercakap besar dan tinggalkan barang-barang kotor seperti tuala wanita dalam hutan. Selain itu, sebelum masuk hutan, minta kebenaran dulu," katanya.
Seorang lelaki yang banyak terlibat dalam operasi menyelamat, Angah Chaki, 40, berkata kanak-kanak itu mungkin disembunyai kuasa ghaib 'tenrog' berikutan tiada jejak yang ditemui.
“‘Tenrog’ ini dalam bahasa Melayu disebut bunian. Ini merupakan kali pertama tujuh kanak-kanak hilang begitu sahaja tanpa jejak,” katanya.
Angah juga turut menceritakan satu kes yang pernah berlaku kepada lelaki Orang Asli yang tersesat selama dua bulan di dalam hutan.
“Apabila dijumpai, mulut mangsa mempunyai kesan tanah dan kita percaya semasa hilang itu dia diberi ‘makan’ tanah dan daun-daun oleh Tenrog,” kata beliau.
Sebelum ini, salah seorang dari kanak-kanak yang ditemui selamat ada berkata mereka diberi makan oleh 'seseorang' dalam tempoh mereka tersesat di dalam hutan.