Punca Masalah Ibu Cepat Marah Kepada Anak-anak
Masalah Ibu Cepat Marah Anak-anak
Puan, senang sahaja. Saya juga mengalami perkara yang sama. Ada empat orang anak, semuanya berlainan perangai. Namun setelah saya banyakkan membaca cara mendidik anak serta menghadiri bengkel dan kursus, Alhamdulillah.
1. Baju Kotor, Rumah Bersepah.
Puan biarkan saja anak-anak habis bermain. Bila anak-anak melihat muka puan, jangan ada mimik marah, jeling atau masam. Cuba senyum dan dengan semulajadinya ia akan sampai ke otak dan turun ke hati yang akan berbisik, "Subhanallah, Ya Rabb aku amat bersyukur kerana mempunyai zuria tyang cukup sifat, comel, mencuit hati, sihat dan aktif,". Pandanglah anak-anak puan seperti kain putih suci yang tiada dosa.
2. Panjat, Jerit & Tak Mendengar Kata
Saya praktikkan pergi pada anak, peluk dan berkata dengan perkataan-perkataan yang sangat lembut dan penuh kasih sayang berserta gosoklah dadanya dan jelaskan pada mereka apa yang kita mahukan anak buat.
3. Puan sungguh bertuah kerana tidak berkerja dan dapat mendidik anak ke jalan Allah SWT. Cuba puan lebihkan anak-anak semasa mereka sedang bermain, turut sertalah dengan mereka. InshaAllah bila anak-anak melihat ibunya bermain bersama, anak-anak juga akan berubah. Saya terus terang berkata, saya sampai anak-anak ajak main hujan dengan air banjir pun saya ikut bermain bersama. Itu menjadikan mereka lebih menyayangi, memahami dan mendengar kata. Akhir sekali, sekiranya puan betul-betul tidak dapat mengawal mereka, puan lihatlah anak-anak seperti esok kita sudah tidak dapat berjumpa dengan mereka lagi buat selamanya.
Ingat, anak-anak bukan hak kita tetapi amanah Allah SWT. Jangan sesekali ingat anak adalah hak kita. Berikan mereka didikan dan kasih sayang yang secukupnya.
4. Setiap malam, amalkan membaca selawat tiga kali, 3 Qul, ayat Kursi dan tiup ke ubun-ubun anak-anak dan gosok seluruh badannya. Kemudian wajib bercakap di telinganya dengan menyebut namanya dan cakaplah apa yang puan impikan pada anak.
Amalan ini saya buat hanya tiga kali sahaja dan nampak perubahan pada anak-anak. Subhanallah, doa dan bisikan seseorang ibu yang penuh kasih sayang dan ciuman benar-benar dapat merubah anak tanpa mengira umur sekiranya istiqomah.
Sekarang, cuba puan amalkan bila nak marah saja, istighfar dan senyum pada anak. Dengan segera mood kita akan berubah puan. Anak memang itu fitrahnya bila kita pukul atau marah anak-anak tiada gunakan kerana otaknya belum lagi boleh berfikir seperti kita. Saya doakan puan akan berjaya mendidik anak-anak puan dengan penuh kasih sayang serta didikan agama. Ingatlah, Allah SWT Maha Pengasih dan Allah SWT amat benci kemarahan atau kekasaran.