Kota Kinabalu: Penduduk di Kampung Pasir Putih, Putatan, di sini, gempar seketika dengan kemunculan puting beliung kecil selepas hujan lebat kira-kira 6.30 petang tadi.
Penduduk, Mohd Hassanul Ariffen Ahmad, 30, berkata ketika kejadian, dia baru pulang daripada bermain futsal dan terkejut apabila terdengar jeritan penduduk yang melihat puting beliung.
"Saya sempat merakamkan kejadian ini dan syukur tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku walaupun jarak puting beliung itu hampir dengan kediaman penduduk kampung," katanya ketika menghubungi Harian Metro, malam tadi.
Sementara itu, laman web Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan angin barat daya berkelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan ombak setinggi 3.5 meter dilaporkan melanda perairan Condore, Reef North, Layang-Layang, Palawan, Labuan dan Sulu sehingga Khamis depan.
Kejadian berlaku akibat kesan Taufan Koppu yang membadai Filipina, baru-baru ini.
