$%Visual video berdurasi 1minit 26 saat yang memaparkan beberapa orang lelaki memukul seorang pengawal keselamatan hospital di Kota Bahru mula viral hari ini.
Pergaduhan yang dilaporkan berlaku petang semalam itu dipercayai berpunca daripada salah faham mengenai kebenaran memasuki wad yang dijaga rapi.
Sementara itu, pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mengesahkan ada berlaku pergaduhan antara beberapa pelawat dan pengawal keselamatan di hospital itu seperti tersebar di laman sosial Facebook semalam.
Ia menyaksikan pengawal keselamatan itu dipukul dan ditumbuk beramai-ramai.
Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II Zaid Ahmad berkata, pelawat itu dipercayai tidak berpuas hati apabila pengawal keselamatan menghalangnya membawa kanak-kanak ke dalam wad itu.
"Untuk makluman wad berkenaan amat sensitif kerana menempatkan pesakit yang mempunyai masalah berkaitan pernafasan.
"Ia adalah wad separa unit rawatan rapi (ICU) dan orang awam sepatutnya memahami tujuan pihak hospital mengadakan undang-undang kawalan itu, demi untuk kebaikan semua," katanya di sini, hari ini.
Zaid juga memberitahu pihaknya mengamalkan polisi mesra pelawat terhadap mereka yang mahu menziarahi pesakit ketika waktu melawat.
Bagaimanapun, wad sensitif seperti wad separa ICU, ICU, Unit Rawatan Koronari (CCU) dan Wad Pergantungan Tinggi (HDW) perlukan kawalan ketat.