Kota Samarahan: Dalam tempoh kira-kira tiga jam, polis berjaya menyelesaikan satu kes bunuh membabitkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di Taman Desa Ilmu, di sini dengan tertangkapnya dua suspek berhampiran lokasi kejadian, kira-kira 10 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 15 dan 18 tahun.
Katanya, polis menerima panggilan memaklumkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki yang terbaring dengan kesan lebam di badan di belakang premis perniagaan pada 7.15 pagi.
"Bertindak dengan maklumat yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dengan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan menahan dua remaja yang mengaku membelasah mangsa sehingga tidak sedarkan diri," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Kota Samarahan esok.