Mayat Ika, rangka Juvina dikenal pasti
KOTA BHARU: Polis mengesahkan mayat kedua yang ditemui Jumaat lalu adalah Ika Ayel, 9 , manakala rangka kedua pula yang dijumpai pada Sabtu lalu adalah Juvina David, 7.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, berkata pengesahan itu dibuat menerusi ujian DNA yang dilakukan Jabatan Kimia.
Katanya, bagi mayat pertama yang ditemui tersangkut di ranting pokok belum dikenal pasti termasuk rangka yang ditemui pada Khamis minggu lalu.
"Sekarang ini kita baru saja mengenalpasti satu mayat dan satu rangka. Selebihnya kita masih lagi belum mengenalpasti identitinya dan dijangka ia akan mengambil masa sehingga minggu depan.
"Kita akan maklumkan kepada keluarga mangsa bagi proses pengambilan mayat untuk pengebumian. Bagi seorang lagi mangsa yang belum ditemui, kita masih lagi teruskan pencarian di kawasan tebing sungai Perias," katanya.
Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli SK Pos Tohoi dilapor melarikan diri dari asrama sekolah berkenaan kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.
Selain Ika dan Juvina, mereka ialah Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11. Setelah 50 hari hilang,
Miksudiar dan Norieen ditemui selamat manakala pihak berkuasa turut menemui dua mayat dan dua rangka kanak-kanak pada awal bulan ini. Seorang lagi mangsa daripada kumpulan kanak-kanak itu masih hilang dan misi pencarian masih diteruskan.